Aqidah para ahli-sunnah terhadap Zat Allah Ta’ala yang Maha Suci, ialah bahawa Allah Tuhan yang Esa tiada sekutu bagiNya. Dia Qadim (lama) tiada awal bagi wujudNya, dan WujudNya pula terus-menerus tiada akhir bagiNya. Dia Kekal tiada luput sama sekali, Dia tetap bersifat agung dan sifat keagunganNya akan berterusan, tiada akan musnah atau terputus dengan terluputnya berbagai-bagai abad, atau berlalunya bermacam-macam waktu.
Bahkan Dialah Allah yang Awal dan yang Akhir, yang Lahir dan yang Batin dan Dialah Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Tuhan Allah bukanlah semacam jisim (rupa) yang dapat digambarkan. Dia tiada menyamai apa pun yang maujud (ada), begitu pula yang maujud itu tiada boleh menyerupaiNya.
Dia tiada dilingkari oleh seluruh penjuru dan arah. Dia tiada pula bertempat, samada dalam lapisan-lapisan bumi atau langit, malah Dia beristiwa’ (memerintah) di atas Arasy mengikut keadaan yang Dia telah firmankan, atau dengan makna yang Dia kehendaki. Dia berada di atas Arasy dan langit, malah di atas segala sesuatu hingga ke batasan bumi. KetinggianNya tiada menjadikanNya lebih dekat kepada Arasy dan langit, sebagaimana semua itu juga tiada menambahkanNya jauh dari bumi dan tanah. Bahkan Allah tetap Maha Tinggi darjatNya dari Arasy dan langit, sebagaimana Dia juga maha Tinggi darjatNya dari bumi dan tanah.
Walau bagaimanapun, Dia tetap dekat kepada yang maujud, dan lebih dekat kepada hambaNya dari urat leher hamba itu sendiri. DekatNya kepada hambaNya tidak serupa dengan dekatnya jisim kepada manusia, begitu juga dengan ZatNya yang tiada serupa dengan zat jisim manusia. Dia tiada bertempat di sesuatu benda, demikian pula benda tiada bertempat pada ZatNya. Maha Suci Allah dari dilingkari oleh sesuatu tempat, sebagaimana Maha SuciNya Dia dari dibatasi oleh sesuatu zaman. Bahkan Dia telah Ada sebelum terciptanya masa dan tempat lagi, dan adaNya Dia sekarang adalah sama seperti keadaan sebelumnya juga.
Di dalam ZatNya, Dia telah dibuktikan kewujudanNya oleh akal fikiran, dan ZatNya dapat dilihat oleh pandangan nanti di kemudian hari di tempat tinggal yang abadi (syurga). Hal itu merupakan suatu nikmat dari Allah dan belas kasihanNya untuk orang-orang yang berbakti kepadaNya, dan sebagai penyempurnaan kenikmatan daripadaNya ialah pengurniaanNya untuk melihat wajahNya yang Maha Mulia.
Dan bahawasanya Allah Ta’ala itu Maha Hidup, Maha Berkuasa, Maha tinggi dan Maha Memaksa, tiada didatangi kecuaian atau kelemahan, tiada dihinggapi kelalaian atau ketiduran dan tiada terkena kehancuran atau kematian. Dialah satu-satunya yang menjadikan dan menciptakan, satu-satunya yang mengadakan dan membentuk Dialah Maha mengetahui akan segala sesuatu yang telah diketahui, ilmuNya meliputi segala apa saja yang berlaku di dalam dasar bumi hingga ke atas langit, tiada sesuatu pun yang terlepas dari ilmuNya sekalaipun seberat atom, samada di dalam bumi atau di pucuk langit.
Bahkan Dia Mengetahui gerak-geri seekor semut yang hitam di atas batu yang licin di malam hari yang gelap-gelita. Dia Mengetahui juga gerakan sebutir debu di tengah-tengah cakerawala ini. Dia Mengetahui yang rahasia dan yang tersembunyi. Dia dapat menyingkap akan perkara-perkara yang terlintas di dalam diri dan gerak-geri hati dan segala rahsia yang disembunyikan; iaitu dengan ilmuNya yang Qadim Azali yang sentiasa Dia masih bersifat dengannya sejak di dalam Azalil-Aazal.
Dan bahawasanya Allah Ta’ala itu Maha menghendaki ke atas semua yang dijadikanNya, dan Maha Pengatur terhadap segala yang diciptakanNya. Tiada boleh berlaku sesuatu pun dalam kerajaanNya atau kekuasaanNya, melainkan dengan ketentuanNya dan kudratNya, dengan hikmatNya dan kemahuanNya. Apa yang Dia kehendaki akan berlaku, dan apa yang Dia tiada menghendaki tidak akan berlaku. Tidak akan ada yang dapat menentang perintahNya, dan tidak akan ada sesiapa yang dapat menolak terhadap hukumNya.
Dan bahawasanya Allah Ta’ala itu Maha Mendengar dan Maha Melihat. Tiada satu pun yang bakal terhalang dari pendengaranNya sesuatu yang terdengar sekalipun yang amat samar, dan tiada satu pun yang bakal tertabir dari pemandanganNya sesuatu yang terlibat sekalipun yang amat halus. PendengaranNya tidak akan terhalang kerana jauh, dan pemandanganNya tidak akan tertutup kerana gelap. PendengaranNya dan pemandanganNya tiada menyerupai pendengaran dan pemandangan makhlukNya, sebagaimana ZatNya juga tiada menyerupai zat makhlukNya.
Dan bahwasanya Allah Ta’ala itu Maha Berkata-kata, Maha Memerintah, Maha Melarang, Maha Mengingatkan dan Mengancam, dan bahawasanya al-Quran, Taurat, Injil dan Zabur itu adalah kitab-kitabNya yang diturunkan ke atas para RasulNya alaihimus-salam membawa percakapanNya yang merupakan sifat bagi ZatNya dan bukanlah sifat bagi mahklukNya. Dan sesungguhnya al-Quran itu adalah Kalamullah yang bukan makhluk (diciptakan) sehingga ia boleh binasa, dan bukan pula sifat bagi makhlukNya sehingga ia boleh punah.
Dan bahwasanya Allah Ta’ala itu Maha Esa, tiada sesuatu yang ada selainNya, bersifat Hadis (baru) yang terjadi dengan perbuatanNya, yang menerima dari keadilanNya dalam rupa yang paling sempurna, paling lengkap dan paling adil.
Dan bahawasanya Allah Ta'ala itu Maha Bijaksana dalam segala perbuatanNya, Maha Adil dalam segala keputusanNya. Dan segala sesuatu selain Allah dari bangsa manusia, jin, malaikat, langit, bumi, binatang, tumbuh-tumbuhan, benda-benda padat yang dapat dilihat atau dapat dirasakan, semuanya itu adalah Hadis (baru) yang dicipta oleh Tuhan dengan kekuasaanNya daripada tidak ada menjadi ada. Dan dijadikanNya pula dalam bentuk yang paling sempurna, yang pada asalnya tidak ada, sebab yang ada di dalam azal itu hanya Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala saja dan selainnya tidak ada bersamaNya. Maka Allah telah menjadikan makhluk sesudah itu, sebagai tanda kekuasaanNya dan untuk merealisasikan apa yang terdahulu dari kemahuanNya, dan apa yang ditentukan di dalam azal dari kalimatNya, bukan kerana Dia berhajat penciptaan itu atau memerlukannya. Bila Allah berkehendakkan untuk menjadikan atau menciptakan atau membebankan, bukanlah itu merupakan suatu kewajiban ke atasNya.
Begitu pula bila Dia memberikan nikmat dan membuat kebaikan, bukanlah juga disebabkan suatu kemestian atasNya. Hanya bagiNyalah segala keutamaan dan kebaikan, kenikmatan dan kekurniaan.
Dan bahwasanya Allah azzawajalla itu memberi pahala kepada hamba-hambanya yang beriman ke atas segala ketaatnya, ialah sebab kemurahatian dan janjiNya bukan sebab kewajiban atasNya. Kerana tidak wajib atas Allah sesuatupun terhadap manusia, dan tiada tergambar dariNya sesuatu kezaliman pun. Begitu pula tidak wajib atas Allah satu hak pun kepada manusia, melainkan hak Allah yang merupakan ketaatan menjadi wajib mutlak atas manusia.
Dan kewajiban itu ditentukan setelah peneriamaanya dari para NabiNya alaihimus-salam, dan bukan dengan secara akal-fikiran belaka. Untuk urusan ini, Allah telah mengirimkan para Rasul kepada mereka dan telah melengkapkannya dengan berbagai-bagai mukjizat yang nyata. Para Rasul itu telah pun menyampaikan perintah dan larangan Allah serta janji dan ancamanNya. Maka dengan itu wajiblah atas makhluk membenarkan apa yang mereka membawanya.
Dan bahwasanya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengutus nabi yang ummi (tidak pandai tulis-baca) dari keturunan Quraish, iaitu Muhammad s.a.w. Perutusan Muhammad itu kepada sekalian bangsa Arab dan Ajam, jin dan manusia, dan dengan perutusannya, maka berakhirlah semua perutusan para Rasul dan para Nabi. Bagindalah menjadi penyudah sekalian para Rasul, pembawa berita yang menggembirakan dan yang menakutkan dan penyeru kepada jalan Allah dengan izinNya, dan sebagai pelita yang memberikan cahayaNya. Allah menurunkan ke atas baginda kitabNya yang penuh hikmat yang memberikan penerangan tentang agamaNya yang lurus dan menunjukkan kejalan Shirathil-Mustaqim (jalan yang betul). Allah telah mewajibkan ke atas semua makhluk, agar mempercayai baginda dengan apa yang diberitakannya.
Dan bahawasanya Hari Kiamat itu pasti akan tiba juga, tiada boleh diragukan lagi, dan bahawasanya pada hari itu Allah Subhanahu wa Ta’ala akan membangunkan segala sesuatu yang telah mati, serta mereka akan kembali hidup semula seperti keadaan mereka sebelum itu.
Dan bahawasanya Allah Ta’ala telah menciptakan syurga yang disediakan sebagai tempat tinggal yang kekal bagi orang-orang yang dikasihiNya, dan mereka itu nanti akan diberikan kemuliaan dengan kurnia yang terbesar, iaitu melihat wajahNya yang Maha Mulia itu. Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mencipta nereka pula yang disediakan sebagai tempat tinggal yang kekal bagi orang-orang yang mengkufuriNya, dan menentang keterangan-keteranganNya, tiada mempercayai kitab-kitabNya dan para RasulNya, dan mereka itu nanti akan terhalang dari dapat melihat wajah Allah Subhanahu wa Ta’ala.
(Sampai di sini saja petikan dari huraian kata-kata Imam Ghazali. Berikutnya pula adalah petikan dari kitab “al-Ibanah” oleh Imam Ash’ari)
Seterusnya hendaklah kita tidak menghukumkan kafir seseorang pun dari ahli kiblat (orang Islam), kerana sesuatu dosa yang dilakukannya seperti zina, mencuri, meminum arak, dan hendaklah kita tidak menentukan seseorang dari ahli tauhid atau yang berpegang teguh dengan keimanan, tempatnya di syurga atau neraka, melainkan sesiapa yang telah disaksikan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri tempatnya di syurga atau neraka. Sebaiknya kita harus mengharapkan orang-orang yang berdosa itu untuk memasuki syurga, sebagaimana kita rasa bimbang kalau-kalau mereka akan dimasukkan ke dalam nereka untuk menerima azabNya.
Dan hendaklah kita mengatakan, bahawasanya Allah Azzawajalla akan mengeluarkan beberapa golongan dari neraka sesudah mereka itu hangus terbakar, iaitu dengan syafaat Rasulullah s.a.w. sebagai membenarkan riwayat-riwayat yang dijelaskan sendiri oleh Rasulullah. Dan haruslah kita mempercayai berlakunya azab di dalam kubur, dan bahawasanya Allah Azzawajalla akan mengumpulkan sekelian hamba-hambaNya di suatu tempat perhentian (Mahshar) dan memperhitungkan amalan-amalan orang Mu’minin.
Dan hendaklah kita mencintai para salaf yang dipilih oleh Allah Azzawajalla menjadi sahabat-sahabat kepada Rasulullah s.a.w. Kita memuji-muji mereka, sepertimana Allah telah memuji mereka, dan kita menjadi pengikut-pengikut mereka sekelian.
Kita harus mengatakan, bahwa Imam yang termulia sesudah Rasulullah s.a.w. itu ialah Abu Bakar as-Siddiq r.a dan bahawa Allah s.w.t telah memuliakan agama ini dengan beliau, dan membuktikan keunggulannya terhadap kaum murtad. Abu Bakar telah ditunjuk oleh seluruh ummat Muslimin untuk memegang kepemimpinan, sebagaimana beliau telah ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w. untuk menjadi Imam sembahyang.
Oleh itu kaum Muslimin telah memanggilnya Khalifah Rasulullah. Sesudah Abu Bakar, Umar Ibnul-Khattab r.a. pula menjadi Khalifah, dan sesudah beliau Usman bin Affan r.a. pula Khalifah Usman r.a. telah dibunuh secara zalim dan aniaya. Kemudian dari itu, Ali bin Abu Talib r.a mengambil tempat Khalifah. Keempat-empat Khalifah ini adalah pemimpin-pemimpin yang mengantikan tempat Rasulullah s.a.w. dan kekhilafahannya samalah seperti khilafah kenabian.
Kita harus menjejaki jalan sekelian para sahabat Rasulullah s.a.w. dan kita tidak boleh mencampuri perselisihan-perselisihan yang timbul di antara mereka.
Dalam perkara-perkara yang kita perselisihkan pula, hendaklah kita kembali kepada kitab Tuhan kita (al-Quran) dan sunnah Nabi kita (al-Hadith) dan seterusnya kepada ijma’ kaum muslimin atau persepakatannya atau apa yang diertikan dalam pengertian persepakatan itu. Kita tidak boleh mengada-adakan sesuatu yang baru dalam agama Allah, iaitu dalam urusan-urusan yang kita tiada diizinkan. Kita tidak boleh mengatakan sesuatu terhadap Allah padahal kita tiada mengetahui.
Kita harus berpendapat bahwa sedekah untuk kaum Muslimin yang meninggal dunia itu baik sekali, demikian pula berdoa untuk mereka. Kita harus mempercayai bahawa Allah akan menyampaikan manafaatnya kepada mereka itu. (*) Kita berkata pula bahawa para sholihin itu boleh dikhususkan oleh Allah dengan tanda-tanda (keramat) yang diperlihatkanNya bagi mereka sendiri.
(*) Dalam kitab al-Iqnak dan syarahnya dari kitab-kitab mazhab Hanbali berbunyi demikian: Semua peribadatan yang dilakukan oleh seorang Muslim dengan maksud pahalanya dihadiahkan kepada seorang Muslim lain yang hidup atau yang sudah mati. Hukumnya adalah harus dan perbuatan itu akan mendatangkan manafaat kepada orang yang dituju dan ia akan mendapat pahalanya, sehingga untuk Rasulullah sekalipun boleh juga ditujukan amalan serupa itu: iaitu dari ibadat yang berupakan tathauwu’ ataupun wajib yang boleh digantikan oleh orang lain, misalnya haji, puasa nazar, atau yang tak boleh digantikan seperti bersembahyang, berdoa, beristighfar, bersedekah, memerdekakan hamba, menunaikan hutang, puasa dan begitu juga membaca dan lain-lain lagi. Berkata Imam Ahmad: Orang mati itu sampai kepadanya segala-gala yang ditujukan kepadanya dari amalan-amalan yang baik kerana nas-nas yang warid mengenainya. Dan sebab kaum Muslimim sentiasa berkumpul di setiap bandar membaca dan menghadiahkan pahala kepada pembacaan itu kepada kaum keluarganya yang telah mati tanpa ditegah oleh orang banyak, maka bolehlah itu dianggap sebagai ijma’ juga.
No comments:
Post a Comment