Followers

Saturday, August 11, 2007

Ihya Ullumudin

KITAB

Rahasia Sembahyang Dan

Keutamaannya

(Bahagian 2)


Syarat-syarat kebatinan dari gerak laku hati

Ketahuilah bahawa dalil-dalil pada mensyaratkan khusyu’ atau kehadiran hati dalam sembahyang itu banyak sekali, di antaranya firman Allah Ta’ala:

“Dan dirikan sembahyang itu untuk mengingatiku” (Taha: 14)

Nyatakan perintah untuk mendirikan sembahyang itu merupakan perintah yang wajib. Kelalaian dan kelengahan dalam perkaranya adalah bertentangan dengan maksud mengingatkan Allah. Barangsiapa yang lalai atau lena dalam semua sembahyangnya, tidak boleh dikatakan dia mendirikan sembahyang kerana mengingati Allah.

Allah berfirman:

“Dan janganlah kamu termasuk golongan orang-orang yang lalai.” (al-A’raf: 205)

Ayat di atas memberikan maksud larangan, tetapi lahirnya menunjukkan pengharaman. Dalam ayat yang lain Allah berfirman:

“Sehingga kamu sekalian mengetahui apa-apa yang kamu ucapkan.” (an-Nisa’: 43)

Ayat tersebut memberikan maksud larangan bagi orang-orang yang mabuk untuk memasuki sembahyang. Ini boleh juga dikenakan ke atas orang-orang yang lalai, orang-orang yang berserabut fikirannya dengan waswas dan hal-ehwal keduniaan.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hanyasanya sembahyang itu adalah dengan bertenang diri dan merendahkan diri.”

Dimulakan dengan rangkaikata hanyasanya di sini, bermaksud bahawa sembahyang yang dilakukan tanpa keterangan dan kerendahan diri bukanlah dinamakan sembahyang yang dituntut oleh syara’.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa bersembahyang, padahal sembahyangnya itu tidak dapat mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar, maka orang itu tiada akan bertambah sesuatu dari Allah melainkan jauh daripadanya.”

Sebenarnya sembahyang orang yang lalai itu tentu sekali tidak akan mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar.

Sabdanya lagi:

“Betapa banyaknya orang yang mendirikan sembahyang, tetapi bahagaian yang didapatinya dari sembahyang itu hanya penat-lelah semata-mata.”

Yang dimaksudkannya di sini tiada lain, melainkan orang yang lalai.

Sabdanya lagi:

“Tiada sesuatu yang diperolehi seseorang hamba dari sembahyangnya, melainkan apa yang dibuatnya dengan akal yang penuh kesabaran.”

Yang sudah terang dan jelas dari semua ayat-ayat dan Hadis-hadis di atas, bahawa orang yang sedang dalam mengerjakan sembahyang itu, sedang bermunajat atau sedang berbicara dengan Tuhannya Azzawajalla, sebagaimana yang telah diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. Padahal kita semua telah mengetahui, bahawa orang yang berbicara sedangkan dia lalai dan tidak hadir hatinya, tidaklah boleh dinamakan munajat sama sekali.

Jika seseorang bersumpah dengan berkata: “Sungguh-sungguh aku akan berterima kasih kepada si Fulan, aku akan memujinya serta memohon daripadanya sesuatu hajat, lalu di dalam tidurnya dia bermimpi bahawa dia mengucapkan kata-kata itu (yakni apa yang dia bersumpah tadi), maka tiadalah terkira luput atau gugur dia dari sumpahnya itu.

Ataupun jika dia mengucapkan kata-kata itu di sebuah tempat yang gelap-gelita, sedangkan si Fulan yang harus ditunjukkan sumpahnya itu berada di situ, tetapi dia tiada mengatahui kehadiran si Fulan itu di situ dan tiada melihatnya ketika itu, maka hukumnya tiada juga gugur dia dari sumpahnya tadi, sebab semua ucapannya itu tidak ditunjukan kepada si Fulan yang dimaksudkan, kerana si Fulan itu tidak hadir dalam hatinya ketika kata-kata itu diucapkan.

Ataupun jika dia mengucapkan kata-kata itu di siang hari dan kali ini pula si Fulan yang harus ditunjukan sumpahnya itu ada di situ, dapat dilihat olehnya dengan terang, Tetapi malangnya, dia lalai dan lena, kerana ketika itu, barangkali dia sedang dalam keadaan susah atau banyak fikiran. Dia mengucapkan kata-kata itu, padahal hatinya di tempat lain, tidak ditunjuk ucapanya itu kepada si Fulan yang termaksud itu, maka hukumnya sama belaka, iaitu tiadalah dia gugur dari sumpahnya.

Sememangnya sudah tidak dapat disangsikan lagi, bahawa maksud daripada bacaan dan zikir di dalam sembahyang itu, adalah untuk memanjatkan puji-pujian, kesyukuran, kerendahan diri serta doa kepada Allah s.w.t. Seolah-olah kita bercakap-cakap kepada Allah azawajalla yang berada di hadapan kita. Maka kiranya hati kita tertutup oleh tabir kelalaian, sudah tentulah Zat Allah s.w.t. akan terlindung dari hati kita, maka kita tidak akan dapat melihat atau menyaksikanNya. Malah hati kita itu akan menjadi lalai dari yang diajak bercakap-cakap itu, dan tinggallah mulutnya saja yang komat-kamit menurut kebiasaanya. Alangkah jauhnya orang ini dari pengertian sembahyang yang sebenarnya yang disyaratkan untuk menggilapkan (membersihkan) hati dan membaharukan zikir Allah azzawajalla serta memperkukuh ikatan keimanan.

Pendekata kehadiran hati dalam sembahyang merupakan jiwa dan roh kepada sembahyang itu sendiri. Barangsiapa yang mengenal rahsia-rahsia sembahyang, mengertilah dia bahawa kelalaian atau ketidak-hadiran hati di dalamnya menyalahi atau bertentangan dengan sifat sembahyang yang betul.

Syarat-syarat keistimewaan sembahyang

Syarat-syarat yang menjadikan sesuatu sembahyang itu istimewa dari segi kebatinannya banyak sekali, tetapi bolehlah disimpulkan kepada enam perkara:

(1) Kehadiran hati dalam sembahyang.

(2) Mengerti bacaan-bacaan sembahyang.

(3) Membesarkan Allah dalam sembahyang.

(4) Merasakan kehebatan Allah dalam sembahyang.

(5) Penuh harapan.

(6) Perasaan malu.

Berikut kita sebutkan huraiannya secara terperinci, kemudian sebab-sebabnya, dan seterusnya mengusahkan cara untuk mencapai syarat-syarat tersebut:

(1) KEHADIRAN HATI DALAM SEMBAHYANG

Maksudnya ialah agar dapat kita mengosokan hati itu dari segala urusan yang boleh

mengganggu, ataupun yang tak ada sangkut-pautnya dengan ibadat sembahyang yang sedang dikerjakan itu. Maka hendaklah pengetahuannya dengan gerak laku badan dan gerak-geri hati itu bersaingan kedua-duanya sekali; dan jangan sampai pemikirannya berputar kepada selain dari keduanya itu.

(2) MENGERTI BACAAN-BACAAN SEMBAHYANG

Memahami atau mengerti maksud-maksud perbicaraan dalam sembahyang itu adalah menjadi seperkara yang utama dalam kontek menghadirkan hati dalam sembahyang; iaitu hati itu haruslah mengatahui segala yang dibicarakan oleh lidah, kerana sembahyang itu memang mengandungi banyak makna-makna atau maksud-maksud yang halus yang patut dimengertikan oleh seorang dalam sembahyangnya. Dengan itu, barulah sembahyang itu dapat mencegahnya dari melakukan perkara-perkara yang keji atau mungkar.

(3) MEMBESARKAN ALLAH DALAM SEMBAHYANG

Membesarkan Allah di dalam sembahyang akan memberikan pengertian yang

mendalam kepada diri orang yang bersembahyang

Itu, di sebalik menghadirkan hati dan memahamkan bacaan-bacaannya.

(4) MERASAKAN KEHEBATAN ALLAH DALAM SEMBAHYANG

Merasakan kehebatan Allah akan menambahkan lagi kebesaranNya yang dirasakan di

dalam sembahyang, dan ia diibaratkan sebagai ketakutan yang berpunca dari kemaha-agungnya Allah Ta’ala yang disembah ketika itu dan kemaha-tinggianNya.

(5) PENUH HARAPAN

Orang yang melakukan sembahyang itu haruslah mengharapkan pahala yang banyak

dari Allah s.w.t., dan sebaliknya harus pula ia merasa takut dari sikaanNya, yang mungkin ditimpakan oleh Allah ke atasnya disebabkan oleh kecuaiannya.

(6) PERASAAN MALU

Dia juga harus mempunyai perasaan malu terhadap Allah s.w.t., kerana kemungkinan

sekali tanpa disadarinya telah berlaku daripadanya sesuatu kecuaian dalam sembahyang itu, atau sesuatu dosa yang tidak disangka-sangkakannya.

Adapun sebab-sebab pencapaian maksud yang enam di atas tadi ialah:

Pertama: Hendaklah kita mengetahui bahawa yang boleh menyebabkan hati itu hadir ialah kekuatan azam, kerana hati itu sentiasa menurut keazaman kita: Hati tidak akan hadir, melainkan sesudah kita menujukan keazaman kita kepadanya. Jadi bila timbul sesuatu perkara yang menarik perhatian kita, tentulah hati kita akan hadir dan meletakkan perhatiannya kepada perkara itu, sama ada secara sukarela mahupun terpaksa, sebab hati itu diciptakan dalam fitrah yang semacam itu dan ia tetap tertakluk kepadanya.

Jika sekiranya hati itu tiada hadir dalam sembahyang, tentulah ia tidak akan berdiam diri begitu saja, bahkan ia akan berkeliaran ke sana ke mari menunjukan perhatiannya kepada hal-ehwal keduniaan. Oleh itu, tiada jalan lain atau tiada penawar untuk menghadirkan hati itu, melainkan dengan menumpukan segala perhatian kita kepada sembahyang semata-mata. Dan perhatian kita itu tidak akan dapat dihadapkan sepenuhnya kepada sembahyang, selagi belum ternyata atau terbukti bahawa hati yang dituntut itu sepenuhnya bergantung kepada sembahyang. Yang demikian itu dapat dicapai melalui keimanan dan keyakinan yang menetapkan, bahawa akhirat itu adalah lebih baik dan lebih kekal, dan bahawasanya sembahyang pula adalah sebagai suatu wasilah atau jalan untuk mencapai kebahagiaan itu disana.

Kedua: Memahamkan bacaan, iaitu sebabnya sesudah menghadirkan hati, ialah menetapkan dan memusatkan akal fikiran untuk menangkap maksud dari segala pertuturan dalam sembahyang. Penawarnya adalah seperti yang tersebut di atas tadi serta menumpukan fikiran dan menyediakannya untuk menolak segala yang mungkin mengacaunya, dan cara menolaknya ialah dengan menolak punca-puncanya; yakni pokok-pokok bagi sebab-sebab yang boleh mempengaruhi akal fikiran dan mengajaknya untuk berfikir-fikir.

Ketiga: Membesarkan atau memuliakan Allah dalam sembahyang, dan yang demikian itu harus datangnya dari hati dengan dua cara:

(1) Mengenal kebesaran Allah azzawajalla dan keagunganNya dan ini adalah dari asal-usul keimanan.

(2) Mengenal kerendahan jiwa dan kehinaannya serta keadaannya sebagai seorang hamba yang tertakluk dan bertuhankan Allah yang Maha Agung.

Pengenalan terhadap kedua-dua cara ini haruslah berterusan sehingga timbul ketenangan, kerendahan hati dan seterusnya kekhusyu’an terhadap Allah s.w.t., maka ketika itulah baru kita kenal pengertian membesarkan Allah dengan penuh kesempurnaan.

Keempat: Adapun merasakan kehebatan atau ketakutan itu adalah keadaan yang harus disifati oleh jiwa yang akan timbul sesudah mengenal akan kekuasaan Allah dan kesanggupanNya, lalu melaksanakan kehendakanNya tampa campur tangan dari kuasa-kuasa yang lain, Jika sekiranya Allah memusnahkan yang awal (terdahulu) semua sekali dan yang akhir (terkebelakang) semua sekali, maka tiadalah akan berkurangan dari kerajaanNya sesuatu sebesar zarrah (atom) pun. Oleh sebab itulah apabila bertambah ilmu kita mengenai Allah, akan bertambah pulalah ketakutan dan kehebatan perasaan kita terhadapNya.

Kelima: Adapun pengharapan, maka sebabnya ialah pengenalan kita kepada belas kasihan Allah s.w.t. dan rahmatNya, serta segala kenikmatan dan kemaha-halusan penciptaanNya. Begitu pula dengan menyakinkan kebenaran janjiNya dengan balasan syurga bagi orang yang melakukan sembahyang. Apabila telah muncul keyakinan dalam hati tentang segala janji-janji Allah, dan muncul sama pengenalan tentang belas kasihanNya, niscaya tidak syak lagi akan timbullah kesan dari kedua-duanya tadi hakikat pengharapan.

Keenam: Akhir sekali perasaan malu, dan dengan adanya sifat malu itu dalam diri, akan teringatlah kita akan kecuaian kita dalam menjalankan ibadat serta mengatahui, bahawa kita ini memang tidak mampu untuk mendirikan semua hak-hak Allah Azzawajalla. Perasaan serupa itu akan menolong kita untuk mengingat tentang keaiban-keaiban diri dan dan kecelaannya, ketidak-iklasan diri dan kecenderungannya kepada balasan-balasan yang kontan dalam segala amal perbuatannya, padahal kita mengatahui tentang kebesaran apa yang bakal ditentukan oleh Allah yang Maha Mulia (yakni dari balasan terkemudian). Dan hendaklah kita menyakini, bahawa Allah Azzawajalla itu mengetahui dan menyingkap segala rahsia dan gerak-geri hati meskipun ia terlalu kecil atau masih samar-samar.

Semua makrifat-makrifat ini bila ditemui dengan keyakinan akan terpancarlah daripadanya, tidak syak lagi, suatu keadaan atau perasaan yang dinamakan perasaan malu terhadap Allah Azzawajalla.

Sekianlah sebab-sebab bagi semua sifat-sifat yang disebutkan di atas tadi. Setiap yang hendak dicari huraiannya, terlebih dulu hendaklah diterangkan sebab-sebabnya, kerana setelah mengenal sebab-musababnya dapatlah pula mengenal ubat dan penawarnya. Manakala ikataan bagi semua sebab-sebab ini ialah keimanan kepada Allah Azzawajalla dan keyakinan terhadapNya.

Penawar berguna untuk menghadirkan hati

Ketahuilah, bahawa setiap orang Mu’min itu wajib memuliakan Allah azzawajalla, takut hanya kepadaNya, berharap hanya daripadaNya, dan sentiasa pula merasa malu terhadap segala kelalaian yang timbul tersebab dari perilakunya terhadap Allah s.w.t. Semua perkara-perkara yang tersebut ini haruslah tidak terlepas dari ingatannya, sesudah ada penuh keyakinan terhadap Allah s.w.t., sekalipun kekuatan ingatan itu setanding dengan kadar kekuatan keyakinannya. Sebab terhindarnya sesuatu sembahyang dari ingatan kepada perkara-perkara tersebut, tiada lain melainkan disebabkan oleh fikiran yang bercabang-cabang, terganggunya hati dan ketidak hadirannya dalam bermunajat, berarti kelalaian dalam sembahyang. Dan tiada yang menjauhkan kita dari sembahyang yang sempurna, melainkan kerana terlalu banyak fikiran yang datang menggangu dan mengacau. Penawar dalam menghadirkan hati ialah menolak semua fikiran-fikiran tersebut, dan sesuatu perkara itu tidak akan tertolak melainkan dengan menolak sebabnya, maka hendaklah anda mencari sebabnya dan mengetahui.

Adapun sebab-sebab kemunculannya fikiran-fikiran yang tidak menentu dalam sesuatu sembahyang itu, ialah sama ada merupakan perkara dari luar ataupun perkara dari dalam. Perkara-perkara dari luar; iaitu seperti sesuatu yang didengar oleh telinga, ataupun dilihat oleh mata. Hal serupa ini boleh menarik perhatian kita kepadanya, lalu perasaan kita pun tertumpu kepadanya dan terpengaruh dengannya. Dari situ kita boleh dibawanya dari suatu fikiran kepada fikiran yang lain, sampai bercabang-cabang pula fikiran kita. Pada ketika itu semua yang kita lihat di hadapan kita akan menjadi sebab pemikiran.

Orang yang kukuh niatnya dan kuat keazamannya tidak akan dilalaikan oleh segala sesuatu yang bermain pada pancainderanya. Akan tetapi si lemah tentu sekali pancainderanya akan membawanya menggembara kepada berbagai-bagai pemikiran ketika itu.

Penawar kepada penyakit ini ialah dengan memutuskan pemikirannya dari segala sebab-sebab ini; iaitu dengan menutup matanya terlebih dulu, kemudian bersungguh-sungguh mencuba meletakkan ke belakang semua yang mungkin mengganggu pancainderanya. Seterusnya, dia mencari tempat yang berdekatan dengan tembok, supaya dalam sembahyang nanti ruangan di hadapanya tidak terlalu lapang untuk dilihat oleh matanya. Dan hendaklah dia menjauhkan diri dari menunaikan sembahyang di jalan-jalan raya, yakni di tempat-tempat lalulintas orang ramai, ataupun di tempat-tempat yang berlukisan, atau tikar-tikar yang penuh dengan gambar-gambar dan warna-warni, kerana kesemuanya itu boleh menyebabkan kelalaian dalam sembahyang.

Adapun sebab-sebab kebatinan pula, maka yang demikian itu adalah lebih hebat lagi. Orang yang bercabang-cabang perhatiannaya dalam persoalan-persoalan keduniaan tentu sekali pemikirannya tidak tetap setempat, ataupun menumpu kepada sesuatu perkara yang tertentu, malah ia akan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Cara untuk mengekang pemikiran-pemikiran ini dari berlaku, ialah dengan memaksa diri untuk memahami, atau mengikuti makna-makna bacaan yang dibacanya di dalam sembanyang dan melarang diri dari mengingati perkara-perkara yang lain dari itu. Untuk membantu melaksanakan cara ini, seseorang yang ingin bersembahyang hendaklah bersiap sedia sebelum bertakbir, lalu memperbaharui ingatannya tentang hari akhirat dan tempat bermunajat itu serta bahayanya keadaan ketika itu. Sebab ia sedang berhadapan muka dengan Allah s.w.t. Dan Allah dapat menyingkap segala rahsianya pada masa itu. Sebelum mengangkat takbir, hendaklah ia menumpukan segala perhatian dan hatinya kepada sembahyang saja, dan jangan sampai ditinggalkan suatu tempat pun dalam hatinya itu untuk dipengaruhi oleh perkara-perkara selainnya.

Apabila gelombang pemikirannya masih belum lagi dapat disembuhkan oleh ubat yang seharusnya boleh mentenangkannya, maka hendaklah ia mendapatkan ubat pembersih yang boleh melenyapkn pangkal penyakit yang bersarang di dalam dasar urat sarafnya. Haruslah ia segera memperhatikan apa-apakah yang memalingkan dirinya dari kehadiran hati tadi. Tidak syak lagi, sesudah itu, akal fikiran itu akan kembali kepada tugasnya, dan ketahuilah ia bahawa pemesongan yang berlaku tadi tiada lain, melainkan disebabkan oleh gejala-gejala syahwat. Maka ia pun segeralah mengutuk dirinya dengan mencabut segala syahwat-syahwat itu dari dalam dirinya serta memutuskan semua perhubungan diri dengan syahwat-syahwat itu.

Ada sebuah riwayat yang diceritakan dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda pernah memakai baju bersulam yang diberikan kepadanya oleh Abu Juhum, lalu baginda bersembahyang, sebaik-baik selesai saja bersembahyang, segeralah baginda menanggalkannya pula seraya bersabda: Kembalikanlah baju ini kepada Abu Juhum sebab ia melenakan saya dalam sembahyang tadi, dan tukarkanlah dia dengan baju biasanya saja (yakni yang tiada bersulam).

YANG HARUS DIPERHATIKAN KETIKA MENGERJAKAN RUKUN DAN SYARAT SEMBAHYANG

Jika anda mendengar suara muazzin berazan. Hendaklah anda gambarkan di dalam hati, betapa hebatnya seruan yang akan berlaku nanti di Hari Kiamat. Oleh itu anda merasakan pada lahir dan batin anda hendak cepat-cepat menyahut seruan itu, kerana orang-orang yang akan diseru dengan lemah-lembut kelak di hari perkiraan yang terbesar (Hari Kiamat).

Adapun taharah ataupun kesucian itu, jika di tempat anda (melakukan sembahyang itu), ia diumpamkan sebagai tutup yang terjauh; jika di pakaian anda, ia diumpamakan sebagai tutup yang terdekat; jika di kulit badan anda, ia diumpamakan sebagai bungkus yang terhampir sekali, maka hendaklah anda jangan pula sampai terlalai akan isinya yang diumpamakan sebaagai zat anda, iaitu hati yang berada di dalamnya. Hati itu haruslah dipelihara kesuciannya dengan banyak bertaubat dan menyesali diri atas segala yang telah terlanjur. Di samping itu hendaklah anda sungguh-sungguh berazam untuk meninggalkan segala ketelanjuran itu di masa hadapan. Kebatinan anda itulah yang seharusnya dipelihara dan disucikan, kerana dialah yang menjadi tempat pandangan Allah s.w.t. yang kita beribadat kepadaNya.

Adapun menutup aurat pula maka ketahuilah bahawa maksudnya ialah menutup segala kejelekan badan anda dari pandangan orang ramai, kerana zahirnya tubuh badan itu menjadi tempat pandangan orang ramai, Apatah lagi dengan aurat-aurat kebatinan anda yang merupakan kecelaan dan keburukan yang berselindung di dalam diri anda itu, yang tidak dapat disingkapkan, melainkan oleh Allah Azzawajalla, maka lebih-lebih lagi harus dijaga dan dipelihara.

Sebaik-baiknya hendaklah anda bayangkan semua keburukan itu di dalam hati anda, dan berusahalah agar kesemuanya ini dapat ditutup. Dalam pada itu, hendaklah anda yakin bahawa tiada sesuatu pun yang akan dapat terlindung dari pandangan Allah s.w.t., tetapi yang boleh menutupnya atau menghapuskannya ialah dengan menyesali diri, merasa malu dan menampakkan ketakutan kepada Allah s.w.t. Apabila semua sifat-sifat ini telah berada dalam hati, ketika itulah jiwa anda akan merasa hina dan rendah dan hati pun sentiasa akan mengecap ketenangan di bawah perasaan malu tadi. Pada waktu itu anda akan berdiri di hadapan Allah Azzawajalla sebagai seorang hamba yang berdosa, yang membuat banyak kesalahan, ataupun seperti seorang budak yang telah melarikan diri lalu menyesal dan kini kembali semula kepada tuannya, sedang menundukkan kepalanya kerana terlalu dikuasai perasaan malu dan takut.

Adapun menghadapkan muka ke kiblat, iaitu memalingkan zahirnya wajah anda dari semua arah menghadap ke arah Baitullah Ta’ala. Jangan pula sampai anda menyangka bahawa memalingkan hati dari segala perkara dan hanya ditumpukan kepada Zat Allah Azzawajalla itu tidak dituntut. Bahkan itulah yang sangat-sangat di tuntut pada ketika itu, dan tidak ada selainnya. Jadi apa yang dibuat dari gerak-geri lahiriah itu menunjukkan kepada gerak-geri batiniah, dan juga untuk menjaga segala gerak laku semua anggota-anggota serta menentukannya menetap pada arah yang satu saja, sehingga ia tiada menyalahi haluan hati. Sebab kiranya ia menyalahi gerak laku hati dan menzaliminya dalam segala gerak-gerinya dan haluannya ke arah-arahnya, niscaya ia akan menarik hati bersama-sama berpaling dari arah Allah Azzawajalla. Oleh kerana itu berhati-hatilah agar haluan hatimu menyertai haluan tubuh badanmu.

Ketahuilah, sebagaimana wajah itu tiada boleh menghadapkan ke arah Baitullah (Kaa’bah) kecuali dengan memesongkannya dari arah-arah yang lain, begitu pulalah hati tiada akan menuju kepada Allah Azzawajala, melainkan dengan memalingkannya dari yang lain-lain dan mengosongkannya dari ingatan-ingatan selain dari Allah.

Adapun I’tidal atau berdiri tegak lurus, maka yang sebenarnya batang tubuh seseorang itulah yang sedang berdiri tegak, manakala hatinya pula sedang berhadapan dengan zat Allah azzawajalla, dan mengingatkan hati agar bersifat dengan sifat rendah diri, hina dan melepaskannya dari perasaan membesarkan diri dan takabur. Selain itu, ia akan mengingatkannya lagi pada hari berdirinya di hadapan Allah azzawajalla, dan pada hari susah-payahnya diri ketika dibawa ke pengadilan untuk disoal di Hari Kiamat kelak.

Oleh itu, hendaklah anda ketahui bahawa pada ketika itu anda sedang berdiri di hadapan Allah Azzawajalla, dan Dia sedang memerhatikan anda dan mengatahui segala rahsia anda. Sayugialah hendaknya, anda berdiri pada waktu itu, seperti anda berdiri di hadapan raja pada zaman sekarang, ini jika anda sebenarnya tidak berdaya untuk mengesan kebesaran Allah yang Maha Berkuasa itu.

Adapun niat itu merupakan suatu keazaman untuk menyahut perintah Allah azzawajalla, yakni menunaikan sembahyang yang difardhukan ke atas anda serta menyempurnakannya dengan penuh harapan, agar mendapat balasan pahalaNya dan merasa takut dari siksaanNya. Begitu juga untuk memohon mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan penuh cita-cita untuk mencapai pengurniaanNya; iaitu agar Allah s.w.t. akan menggerakkan hati untuk bermunajat kepadaNya, meskipun dosa anda sudah terlalu banyak. Maka hendaklah anda membesarkan darjat munajat kepada Allah itu dalam diri anda, sebagai suatu perkara yang amat penting sekali. Kemudian, hendaklah anda perhatikan di dalam hati anda, siapakah sebenarnya yang anda bermunajat kepadanya ketika itu?. Bagaimana pula seharusnya munajat itu kepadaNya?. Dan apakah yang anda ucapkan dalam munajat itu?.

Dalam menjalankan munajat serupa itu, sepatutnya anda merasakan peluh mengalir dari atas dahi kerana perasaan malu, manakala tubuh anda merasa gementar pula, kerana kehebatan kedudukan di masa itu. Dan akan pucat-lesilah wajah anda dari perasaan ketakutan.

Adapun bacaan takbir itu, maka apabila anda menyebutkan dengan lisan hendaklah jangan anda mendustakannya di dalam hati. Andaikata di dalam hati ketika itu ada sesuatu yang dipandang lebih besar dari Allah s.w.t., ataupun hawa nafsu itu lebih menguasai jiwa anda daripada Tuhan yang sedang anda beribadat kepadaNya, kemudian anda menurutkan pula kemahuan hawa nafsu itu, maka samalah seperti anda menjadikannya Tuhan selain dari Allah yang anda membesarkanNya. Jadi kata-kata Allahu Akbar itu tiada lain hanyalah semata-mata di bibir saja, manakala hati tiada mengakuinya atau membantunya. Alangkah berbahayanya orang yang berkeadaan sedemikian itu, kalaulah tidak diikutkan segera dengan taubat dan istightar, dan terutama sekali persangkaan yang terbaik terhadap Allah s.w.t. yang melalui kemurahanNya dan belas kasihanNya dapat memberikan keampunaan kepada kita sekalian.

Adapun doa Iftitah, maka ucapan anda yang pertama sekali ialah:

“ Aku menghadapkan wajahku kepada yang menjadikan petala langit dan bumi.”

Yang dimaksudkan dengan perkataan wajah di sini bukanlah wajah atau muka yang lahir itu, kerana anda menghadapkannya ke arah kiblat. Allah s.w.t. Maha Suci daripada boleh ditetapkan adaNya di sesuatu arah atau jihat yang tertentu, sehingga anda menghadapkan muka atau wajah di badan itu ke arahnya. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan wajah itu ialah wajah hati yang harus menghadap atau menghala kepada Tuhan Pencipta petala langit dan bumi. Jadi hendaklah anda perhatikan adakah ia menuju atau menghala kepada berbagai angan-angan atau cita-cita dan adakah perhatiannya masih tertumpu ke dalam rumah atau di pasar menurutkan segala macam syahwat dan hawa nafsu, ataupun ia sebenarnya telah menuju atau menghala kepada Tuhan Pencipta langit?.

Awaslah, jangan sampai pula pekerjaan munajat itu dimulakan dengan berdusta. Ingatlah bahawa wajah hati itu tidak mungkin ditujukan semata-mata khalish kepada Allah s.w.t. melainkan dengan memalingkan wajah itu dari perkara-perkara selain Allah. Oleh itu hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dengan serta-merta memusatkan tujuan kita kepada Allah s.w.t.

Kiranya tidak mampu melakukan yang demikian terus-menarus, maka hendaklah berkata dalam diri; Sekarang aku akan cuba lagi, Kiranya tidak mampu juga, maka hendaklah mencuba lagi dengan sebenar-benarnya.

Kemudian apabila membaca:

“Dalam keadaan cenderung dan berserah.”

Apabila membaca:

“Dan tiadalah aku dari golongan orang-orang musyrikin”

Sewajarnyalah anda memahamkan di dalam hari bahawa syirik yang tersembunyi itu ialah umpama seorang mengkasadkan (meniatkan) ibadatnya kepada Allah s.w.t., tetapi dalam pada itu, dia suka memuja-muja manusia. Ingatlah dan peliharalah diri anda dari rupa syirik ini, dan hendaklah merasakan malu di hati anda, kalau anda mendakwa diri bukan dari golongan orang-orang yang musyrikin, tetapi anda tidak terlepas dari perbuatan syirik ini, Ketahuilah bahawa pengertian syirik itu terkena kepada perbuatan yang sedikit, mahupun yang banyak dari kelakuan serupa itu.

Apabila membaca:

“Hidupku dan matiku kerana Allah Ta’ala.”

Ketahuilah bahawa hal serupa ini adalah sama seperti halnya seorang hamba yang kehilangan dirinya, dan kini sedang berada di hadapan tuannya. Kalaulah kata-kata itu diucapkan oleh seorang yang keredhaannya, atau kemarahannya, atau berdirinya, atau duduknya, atau keinginannya untuk hidup terus-menerus dan kegerunannya dari menemui maut semata-mata, kerana urusan keduniaan tentulah tidak sesuai untuk keadaannya seketika itu.

Bila membaca:

“Aku berlindung diri kepada Allah dari bencana syaitan yang terkutuk.”

Hendaklah anda ketahui bahawa musuhmu (syaitan) itu sentiasa memasang perangkap untuk memesongkan hati anda dari Allah azzawajalla, semata-mata kerana dengki dan hasad terhadap munajat yang anda lakukan terhadap Allah s.w.t. Kemudian anda bersujud pula kepada Allah, padahal kerana sebab sujudlah syaitan itu dihalau dari rahmat Allah dan menjadi terkutuk tersebab satu kali sujud saja yang ia enggan melakukannya.

Bila anda membaca isti’azah’ (A’uzubillahi minasy-syaitanir-rajiim) pula, janganlah hendaknya membaca sekadar menggerakkan lisan semata-mata, melainkan anda sekaligus meninggalkan segala kelakuan yang disukai oleh syaitan dan menggantikan tempatnya dengan kelakuan-kelakuan yang diredhai oleh Allah. Umpamanya samalah seperti seorang yang diserang oleh binatang buas ataupun musuh yang hendak membunuhnya, janganlah hendaknya ia hanya berkata: Aku berlindung daripadamu di dalam pendinding yang menahan dari segala mara bahaya, sedangkan ia berdiri tegak di tempatnya itu, tentulah itu tidak akan memberi apa-apa guna atau manfaat, kecuali ia mencari tempat yang boleh melindunginya dari binatang atau musuh itu.

Begitu pula hendaknya bagi orang yang sering menurutkan hawa nafsu dan kehendak-kehendak yang menjadi keinginan syaitan dan kebencian ar-rahman (Allah), tidaklah memadai dengan setakat berkata dengan lidah saja tanpa ada bukti. Barangsiapa yang mengambil hawa nafsunya menjadi Tuhan, niscaya dia berada dalam medan atau halaman syaitan, dan bukanlah dalam benteng Allah Ta’ala.

Ketahuilah di antara tipu daya tipu daya syaitan itu, dia akan memesongkan anda dalam sembahyang daripada mengingatkan tentang akhirat, atau menghalang anda untuk membuat kebajikan supaya dapat menahan anda dari memahami bacaan-bacaan yang di baca dalam sembahyang itu. Maka hendaklah anda faham bahawa segala yang menghalang dari memahami makna-makna bacaan itu adalah waswas. Sebab gerak-geri lisan itu bukanlah menjadi maksud yang utama, bahkan maksud yang utama ialah makna-makna bacaan itu.

Bila anda membaca:

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihani.”

Hendaklah anda meniatkaan keberkatan kerana memulakan bacaan Kalamullah (Firman Allah). Ketahuilah bahawa maknanya, semua perkara-perkara itu akan berlaku dengan kuasa Allah Ta’ala, dan bila kita mengi’tikadkan bahawa semua perkara-perkara itu dalam kuasa Tuhan, tentulah tiada daya lagi bagi kita.

Bila membaca:

“Segala puji-pujian bagi Allah.”

Maknanya: Segala kesyukuran hendaklah ditujukan kepada Allah semata-mata, kerana dialah yang memberikan semua nikmat-nikmat itu. Barangsiapa yang menganggap ada lagi nikmat dari selain Allah Ta’ala, ataupun dia menunjukkan kesyukurannya kepada selain dari Allah, bukan kerana dia itu terpaksa, maka jadilah segala bacaan Bismillah dan Alhamdullilah yang disebutkannya itu tadi, tiada berguna, kerana tujuannya kepada selain dari Allah s.w.t.

Bila membaca:

“Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.”

Di waktu itu hendaklah anda tinjau di dalam hati segala macam kelembutan Allah kepada sekalian makhlukNya, niscaya ternampaklah oleh anda rahmatNya sehingga timbul pula pengharapan kepadaNya. Sesudah itu hendaklah terpancar dari dalam hati anda perasaan membesarkan Allah dan takut kepadanNya, dengan membaca pula:

“Yanag menjadi raja pada Hari Kiamat.”

Adapun kebesaran yang diucapkan terhadap Allah itu ialah, kerana tiada kerajaan kecuali bagi Allah yang Maha Kuasa. Manakala ketakutan pula ialah dikeranakan kehebatannya hari pembalasan dan hari perkiraan yang Allah s.w.t. akan menjadi Pengadilnya.

Sesudah itu perbaharukanlah keiklasan anda terhadap Allah s.w.t. dengan membaca:

“Hanya kepadaMu saja kami menyembah.”

Menyertai bacaan itu, hendaklah anda mengingatkan kelemahan anda dan keperluan anda kepada Allah, Begitu pula mengingat bahawa diri anda itu tiada berdaya-upaya sama sekali dengan membaca pula.

“Dan hanya kepadaMu pula kami meminta pertolongan.”

Di waktu itu yakinlah anda, bahawa tiada daya-upaya untuk mentaati Allah kalau tidak dengan pertolongan Nya. Dan bahawasanya manusia itu terhutang budi kepada Allah disebabkan taufiqNya yang dilimpahkan ke atas manusia untuk membuat ketaatan kepadaNya.

Kemudian tetapkan pula permintaan anda dan jangan meminta melainkan perkara-perkara yang amat penting saja, dan bacalah:

“Tunjukilah kami jalan yang lurus (Shirathal-Mustaqiim).”

Iaitu jalan yang akan membimbing anda ke sisi Allah s.w.t. dan yang akan menyebabkan keredhaanNya kepada anda. Dalam pada itu, hendaklah anda tambah pula keterangan penjelasan dan pengukuhan atau penyaksian terhadap orang-orang yang yang telah menerima limpahan hidayat dariNya, iaitu dari golongan para Nabi, para Siddiqin, para Syuhada dan para Salihin, dan bukan pula orang-orang yang dimurkai oleh Allah dari golongan kafir, musyrik dan orang-orang yang sesat.

Sesudah menyebutkan semua itu, lalu anda pohonkan pengabulan Allah s.w.t dengan membaca:

“Kabulkanlah segala permohonan kami itu.”

Ketahuilah, andaikata anda tiada memperolehi sesuatu pun dari sembahyang anda itu selain dari Zikrullah, yakni hanya berzikir kepada Allah saja tentang kemaha-agunganNya dan kebesaranNya, itu pun sudah memadai. Apatah lagi dengan apa yang anda harap-harapkan dari balasan dari pahalaNya.

Seterusnya, hendaklah anda memahami segala bacaan yang anda baca itu dari surah-surah al-Quran. Janganlah sampai anda lalai atau cuai akan perintah dan laranganNya. Janji dan ancamanNya. Segala nasihat-nasihat dan berita-berita tentang para NabiNya, dan seterusnya mengingat segala nikmat dan kebaikanNya, kerana tiap-tiap satu dari semua ini ada haknya. Timbulnya harapan akibat dari adanya janji. Timbulnya ketakutan akibat dari adanya ancaman. Timbulnya keazaman akibat dari adanya suruhan dan larangan. Menurut arahan adalah akibat dari adanya nasihat dan peringatan. Mengucap kesyukuran adalah akibat dari adanya budi dan pemberian. Dan mengambil contoh-tauladan adalah akibat dari adanya cerita-cerita para Nabi. Semua pengertian-pengertian ini akan berkesan sekali dalam diri seseorang, sesuai dengan tingkatan fahamannya, dan ini tergantung pula kepada darjat ilmu pengetahuannya dan kebersihan hatinya. Manakala darjat seseorang dalam bidang ini tidak ada kadar atau batasannya yang tertentu. Jadi sembahyang itu adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Di dalam sembahyanglah boleh tersingkap semua rahsia kalimat-kalimat akibat dari bacaan-bacaan yang kita bacakan Demikianlah pula dengan rahsia-rahsia zikir-zikir dan tasbih-tasbih.

Selanjutnya, mestilah ada rasa kehebatan dalam segala bacaan-bacaan itu, dan sebaik-baiknya dibacakan satu-persatu perlahan-lahan. Jangan sampai terlalu cepat atau tergopoh-gapah, kerana secara itu lebih mudah untuk difahamkan atau direnungkan pengertiannya.

Adapun kelangsungan berdiri itu adalah suatu peringatan terhadap turutnya hati sama-sama berdiri di hadapan Allah azzawajalla, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

Sesungguhnya Allah Azzawajalla itu sentiasa menghadap kepada orang yang bersembahyang, selama ia tiada menolah-noleh.”

Sebagaimana wajib kita menjaga kepala dan mata supaya tidak menoleh-noleh ke arah selain dari kiblat, demikian pula wajib kita menjaga kebatinan kita; iaitu hati dan jiwa supaya tidak berpaling kepada selain dari Allah s.w.t. dalam sembahyang. Jika ia berpaling, maka hendaklah segera diperingatkannya bahawa Allah s.w.t. itu mengatahui segala gerak-geri kabatinan, dan mengingatkan sekali akan buruknya balasan dari Allah, akibat kelalaian hati orang yang bermunajat dalam sembahyangnya.

Kekalkanlah kekhusyu’an di dalam hati, dan tandanya ada kekhusyu’an itu, ialah bila anggota lahir dan anggota batin tiada menoleh ke mana-mana, dan apakala anggota batin menjadi khusyu’, niscaya anggota lahir akan menurutnya. Pernah Rasulullah s.a.w. bersabda ketika melihat seorang yang sedang bersembahyang, pada hal tangannya bermain-main dengan janggutnya, katanya

Adapun orang ini, jika hatinya khusyu’, tentulah segala anggota badannya akan turut khusyu’, sama, sebab rakyat selalunya patuh kepada pemerintahannya.”

Sebab itulah ada tersebut di dalam doa yang warid:

“Ya Allah, ya Tuhanku! Perbaikilah pemelihara (pemerintah) dan pemeliharaannya (rakyat).”

Maksudnya: Hati dan segala anggotanya.

Adapun tentang ruku’ dan sujud itu, sayugialah di waktu melakukanya diperbaharui ingatan terhadap kebesarn Allah s.w.t., dan ketika mengangkat kedua tangan pula disertakan memohon pengampunan Allah dari siksaanNya. Sesudah itu, anda menunjukkan pula kerendahan diri penuh tawadhu’ dengan melakukan ruku’ kepadaNya. Di waktu itu, hendaklah anda bersungguh-sungguh melembutkan hati dan membaharui khusyu’ dengan sepenuh perasaan, kerana di hadapan anda itu adalah Tuhan yang Maha Mulia dan Maha Besar. Segala perasaan ini harus diakui oleh hati manakala lisan turut menolong menyebutkannya.

Anda mengucapkan tasbih terhadap Tuhan seraya menyaksikan bagi ZatNya keagungan, dan bahawasanya Dia adalah Maha Besar dari segala yang besar. Sebutan itu haruslah diulang-ulangi di dalam hati sehingga ia kekal kukuh di situ. Lantas anda tegak berdiri semula dari ruku’ dengan membawa penuh harapan pada diri anda, sambil menyebutkan:

“Allah telah mendengar orang yang memujiNya.”

Yakni: Allah telah menyahut kepada orang yang memujiNya. Kemudian anda menggadakan pula dengan kepujian yang bertambah, dengan berkata:

“Wahai Tuhan kami Bagimu segala kepujian.”

Kemudian menambahkan lagi kepujian, dengan membaca:

“Pujian yang meliputi segala petala langit dan bumi.”

Seterusnya anda turun untuk bersujud. Sujud itu merupakan setinggi-tinggi darjat kerendahan diri, kerana anda telah meletakkan semulia-mulia anggota anda, iaitu wajah ke tempat yaang paling rendah sekali, iaitu tanah. Jika boleh, lebih utama lagi, kalau anda terus bersujud ke atas tanah, tanpa ada apa-apa yang mengalasnya, kerana itu akan lebih menimbulkan perasaan khusyu’ dalam diri dan lebih menunjukkan kepada pernerimaan diri akan kehinaan. Andai kata anda sanggup meletakkan diri anda ke tempat yang terendah, berarti anda telah meletakkan ke tempatnya yang wajar, sama seperti anda mengembalikan cabang kepada asalnya. Sebab asal anda dijadikan dari tanah dan kepada tanah juga anda akan kembali kelak. Pada ketika itu, sayugialah anda memperbaharui ingatan kepada kebesaran Allah di dalam hati, kemudian barulah anda mengucapkan:

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi.”

Perkukuhkanlah bacaan itu dengan berulangkali, sebab dengan membaca sekali saja tidak akan meninggalkan kesan yang kuat dalam diri. Apabila hati anda menjadi lembut dan tipis dan telah ternyata yang demikian, maka hendaklah anda menunjukkan kebenaran harapan anda kepada rahmat Allah Ta’ala, sebab rahmatNya akan segera lahir dalam diri yang lemah dan hina, bukan dalam diri yang sombong dan bongkak. Kini angkatkanlah kepalamu dengan membaca takbir, seraya meminta pula hajatmu dengan berkata:

“Wahai Tuhanku! Ampunilah aku dan belas kasihanilah.”

Pada waktu itu, hendaklah anda melahirkan perasaan tawadhu’ dan merendah diri, kemudian kembalikan semula bersujud buat kedua kalinya.

Adapun tasyahhud itu, apabila anda duduk hendaklah duduk secara beradab sambil menjelaskan di dalam hati, bahawa semua yang diucapkan dari salawat (doa dan tadharru’) serta segala kebaikan; iaitu akhlak yang suci-murni, adalah semata-mata kerana Allah Ta’ala. Begitu pula kita simpulkan bahawa Kerajaan Semesta itu adalah bagi Allah jua. Demikianlah makna sebenarnya dari bacaan tahiyat dalam duduk bertasyahhud itu

Kemudian ingatkah di dalam hati peribadi Nabi Besar Muhammad s.a.w, seraya anda ucapkan:

“Salam sejahtera ke atasmu, wahai Nabi, dengan rahmat Allah serta keberkataanNya.”

Benarkanlah harapan anda bahawa salam itu akan sampai kepada baginda Rasulullah s.a.w. serta baginda akan membalas salammu itu dengan lebih sempurna. Selanjutnya, anda memberi salam pula ke atas diri anda sendiri dan ke atas sekelian hamba-hamba Allah yang salihin. Seterusnya, anda menyaksikan pula sifat wahdariah atau keesaan bagi Allah, dan bagi Muhammad pula kerasulan yakni perutusan yang sebenar. Ini sebagai memperbaharui janji kepada Allah s.w.t. Dengan mengulang-ucap dua kalimah Syahadat dan mengharapkan perlindungan di dalam bentengnya.

Kemudian pada akhir sembahyang, berdoalah dengan doa-doa yang ma’tsur (yang diajarkan oleh Nabi) dengan penuh perasaan tawadhu’ dan khusyu’, dengan penuh perasaan hina-dina dan rendah diri serta kebenaran harapan untuk menerima pengabulan. Jangan lupa menyertakan doa untuk kedua ibu-bapa dan sekalian kaum Mu’minin.

Di waktu mengucap salam pula, niatkan sekali salam ke atas para Malaikat dan sekalian orang yang hadir ketika itu. Sambil meniatkan sama berakhirnya sembahyang itu Jangan lupa pula merasakan kesyukuran anda terhadap Allah s.w.t. kerana taufiqNya, sehingga anda dapat menyempurnakan ibadat sembahyang itu. Kemudian kalau ada kecuaian atau kelalaian dalam ibadat itu. rasakanlah di dalam hati anda perasan takut dan malu. Anda sepatutnya merasa bimbang juga, kalau-kalau sembahyang itu tidak diterima oleh Allah s.w.t., atau barangkali kerana dosa lahir atau batin, maka sembahyang itu pun ditolak di hadapan muka anda. Dalam hal ini, hendaklah anda mempunyai harapan penuh agar Allah s.w.t. akan menerima sembahyang itu disebabkan sifat rahmatnya dan kemurahatianNya.

Demikianlah keterangan mengenai sembahyang orang-orang yang penuh khusyu’, sesuai dengan firman-firman Allah Ta’ala:

“Mereka yang berlaku penuh kekhusyu’an di dalam sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 2)

“Dan mereka sentiasa memelihara sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 9)

“Dan mereka yang tetap mengerjakan sembahyang mereka.” (al-Ma’arij: 23)

Dan mereka itu juga tergolong orang-orang yang bermunajat kepada Allah s.w.t. menurut kadar kemampuannya untuk mengatakan ubudiahnya (perhambaannya). Sayugialah setiap manusia itu mendedahkan dirinya kepada semua sembahyang-sembahyang ini. Mana-mana yang dia mampu memyempurnakannya, hendaklah ia merasa gembira. Mana-mana yang terlepas atau tertinggal, hendaklah ia merasa dukacita, dan hendaklah ia berusaha bersungguh-sungguh pula untuk memperbaikinya.

Adapun orang-orang yang lalai dalam sembahyangnya, maka ia amatlah membimbangkan sekali, kecuali jika Allah mahu melimpahinya dengan rahmatNya. Kita memohon Allah s.w.t. agar dilimpahiNya kita dengan rahmatNya dan keampuanNya, kerana tiada lain jalan bagi kita melainkan mengaku tentang diri ketidak-mampuan kita untuk menuanaikan sepenuh ketaatan terhadap Allah Ta'ala’.

Kunci untuk menambah tingkatan dan darjat diri ialah menerusi sembahyang. Allah berfirman:

“Sungguh telah menang (berhabagia) orang-orang yang beriman, yang berlaku khusyu’ dalam sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 1-2)

Allah s.w.t telah memuji kumpulan orang-orang ini, setelah mereka beriman kepadaNya dengan sesuatu sembahyang yang tertentu; iaitu sembahyang yang disertai kekhusyu’an. Kemudian Allah Ta’ala telah melengkapkan sifat-sifat orang yang berbahagia itu dengan menyebutkan tentang sembahyang pula, dengan firmanNya:

“Dan mereka sentiasa memelihara sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 9)

Lalu Allah s.w.t. menyanjung sifat itu dan menentukan balasanNya dengan berkata:

“Mereka itulah yang menjadi pewaris-pearis yang mewarisi Syurga Firdaus, di mana mereka akan tinggal berkekalan di dalamnya.” (al-Mu’minun: 10-11)

Jadi Allah s.w.t. telah mensifatkan mereka itu sebagai orang-orang yang menang dan berbahagia pada mula ayat, kemudian mensifatkan mereka sekali lagi dengan orang-orang yang bakal mewarisi Syurga Firdaus sesudah itu.

Menurut keyakinan saya, bahawa membaca dengan terlalu cepat, sedang hati pula lalai tidak akan dapat mencapai sifat-sifat yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala tadi. Sebab itulah Allah telah berfirman di dalam al-Quran menerangkan sifat-sifat orang yang di sebalik sifat-sifat tadi.

“Apakah yang menyebabkan kamu termasuk ke dalam Neraka saqar. Mereka menjawab: Kerana kami bukan tergolong orang-orang yang bersembahyang.” (al-Muddatstsir:42-43)

Hanya orang-orang yang bersembahyang sajalah yang bakal mewarisi Syurga Firdaus, dan mereka jugalah orang-orang yang dapat melihat cahaya Allah Ta’ala dan orang-orang yang merasakan kenikmatan, kerana Allah s.w.t. amat hampir dan dekat sekali kepada diri dan hati mereka. Mudah-mudahan kita semua termasuk kedalam golongan ini.


No comments: